JERANTUT:
Kerajaan Pahang meminta peneraju industri pelancongan tempatan meningkatkan
kemudahan prasarana dan perkhidmatan masing-masing sebelum hujung tahun ini,
sempena ketibaan kempen Tahun Melawat Pahang 2017.
Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar
Shamsuddin, berkata pemilik hotel, pengusaha inap desa dan operator produk
pelancongan diminta sentiasa mengekalkan tahap kebersihan dalam keadaan baik.
Katanya,
kerjasama semua pihak berkaitan itu penting supaya kempen Tahun Melawat Pahang
2017 dapat dijayakan dengan berkesan seterusnya mencapai sasaran menarik
kedatangan 15 juta pelancong dalam dan luar negeri dengan perolehan pendapatan
kira-kira RM14 bilion.
"Segala
kemudahan dan perkhidmatan yang ada perlu diselenggara dengan baik, kebersihan
sentiasa diberi keutamaan dan jika ada (pemain industri pelancongan) yang mahu
membuat penambahbaikan kemudahan masing-masing sebaik-sebaiknya siap sebelum
hujung tahun ini.
"Kita
sudah membuat perancangan rapi dan mahu pastikan kempen Tahun Melawat Pahang
2017 mencapai matlamat untuk mempromosi semua produk pelancongan yang ada di
setiap daerah yang akhirnya turut memberi pulangan pelaburan kepada
pengusahanya.
"Semua
pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk sama-sama kerajaan negeri
mengalu-alukan kedatangan pelancong supaya industri pelancongan di negeri ini
terus berkembang dengan positif," katanya di sini, hari ini.
Mohd
Sharkar berkata, prapelancaran kempen Tahun Melawat Pahang 2017 akan diadakan
pada bulan Mac manakala pelancaran secara besaran-besaran pula pada bulan Jun.